Tuesday, December 8, 2015

TARIF ELEKTRIK SEMENANJUNG, SABQH DAN LABUAN KEKAL: ONGKILI


PUTRAJAYA:  Para pengguna di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati kadar tarif elektrik pada 38.53 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj) manakala di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 33.32 sen/kWj, berkuat kuasa pada 1 Januari sehingga Jun tahun depan.

Bagaimanapun, bagi tempoh sama, pemberian rebat tarif elektrik bagi Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 1.52 sen kWj berbanding 2.25 sen kWj yang dinikmati pada Julai sehingga Disember ini.

Pengguna Sabah dan Labuan akan terus menikmati penurunan purata kadar tarif elektrik sebanyak 1.20 sen kWj.

Ketika mengumumkannya hari ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata rebat dan penurunan tarif itu akan diberikan kepada semua kategori pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung Malaysia dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Sabah serta Labuan, kecuali pengguna domestik dengan kadar penggunaan elektrik sebanyak 300 kWj dan ke bawah, sebulan.
   
Ia berikutan kenaikan tarif elektrik tidak melibatkan kategori pengguna berkenaan sejak 1 Januari 2014.

"Perkara ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri. Keputusan bagi Semenanjung Malaysia dibuat berikutan terdapat penjimatan kos bahan api dan penjanaan ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) sebanyak RM762.03 juta bagi tempoh Julai sehingga Disember tahun ini," katanya pada sidang media di sini.

Penurunan harga LNG

Menurut Ongkili, penjimatan itu hasil penurunan harga gas cecair asli (LNG) di pasaran dunia serta peningkatan kecekapan loji-loji janakuasa gas dan arang batu.

"Walaupun kenaikan harga arang batu susulan kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang asing serta (langkah) rasionalisasi subsidi bahan api untuk sektor elektrik akibat kenaikan harga gas berpaip di Semenanjung Malaysia, namun kerajaan masih mampu mengekalkan purata kadar tarif elektrik semasa pada 38.53 sen kWj," katanya.

Harga gas berpaip di Semenanjung Malaysia naik sebanyak RM1.50/MMBtu (daripada RM16.70 MMBtu kepada RM18.20 MMBtu).

ICPT dilaksanakan di Semenanjung Malaysia pada Januari 2014 sebagai satu mekanisme bagi membenarkan sebarang perubahan dalam kos bahan api dan penjanaan yang dilepaskan kepada pengguna.

Bagi Sabah dan Labuan yang tidak menggunakan ICPT, Ongkili berkata keputusan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik adalah berikutan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata, penjimatan dalam pemberian subsidi bahan api 'Medium Fuel Oil' (MFO) dan diesel, membolehkan kerajaan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik sebanyak 1.20 sen kWj seperti enam bulan terdahulu.

"Keseluruhan subsidi bahan api Sabah dan Labuan dianggarkan berjumlah RM468 juta bagi tahun 2016," katanya.

Tidak jejas operasi TNB

Ongkili turut menegaskan, rebat dan penurunan tarif itu tidak memberi implikasi terhadap kedudukan kewangan atau operasi TNB dan SESB kerana sumber pelaksanaannya adalah hasil penjimatan kos ICPT dan subsidi kerajaan.

Malah, katanya, antara langkah perlindungan pengguna dalam usaha rasionalisasi subsidi harga gas berpaip termasuk pengguna domestik dengan unit penggunaan 300 kWj dan ke bawah yang tidak terlibat dengan sebarang kenaikan tarif, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan caj galakan 'Feed-in Tariff'
(FiT).

Beliau berkata pengguna komersial dan industri dengan kos elektrik sekurang-kurangnya lima peratus daripada keseluruhan kos operasi syarikat, layak menikmati Tarif Industri Khas (TIK) dengan diskaun antara 3-10 peratus.

"Program pengecualian bayaran bil elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah turut diberikan kepada pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.- BERNAMA

Friday, November 6, 2015

LELAKI MAUT BERBALAS TEMBAKAN DENGAN PASUKAN KESELAMATAN DI LAHAD DATU


LAHAD DATU:  Seorang lelaki maut selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan, dalam operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI), di sini hari ini.

Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata kejadian pada 7.15 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kongsi pekerja Fordeco.

"Ketika kejadian, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, setelah lelaki tidak dikenali itu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan daripada sebuah rumah kosong di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Sedino Mas Drain mati di tempat kejadian, dan turut ditemui sepucuk pistol dengan tiga butir peluru hidup," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat lelaki dipercayai PATI itu, kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.- BERNAMA

Monday, October 19, 2015

INFO: GEMPA BUMI LANDA RANAU, SABAH


KUALA LUMPUR:  Gempa bumi lemah berlaku di Ranau, Sabah malam tadi dan gegaran turut dirasai, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurut kenyataan MetMalaysia pada Isnin, gempa bumi berukuran 3.4 pada skala Richter berlaku pada 9.17 malam.

Sementara itu satu lagi gempa bumi sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter dikesan berlaku di Mindoro, Filipina, kira-kira 184km barat laut San Hose dan 883 timur laut Kudat, Sabah pada 9.50 malam.

Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Tuesday, October 13, 2015

SOSMA: KETUA UMNO PENAMPANG DAKWA MUHYIDDIN DAN SHAFIE BERDOLAK DALIK


KOTA KINABALU:  Seorang Ketua UMNO Bahagian hari ini mendakwa Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menukar pendirian mereka mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.


Datuk John Ambrose, yang mengetuai UMNO bahagian Penampang, dipetik sebuah portal berita sebagai berkata Muhyiddin dan Shafie mungkin terlupa kedua-dua mereka mengundi untuk menyokong SOSMA yang digubal di Parlimen.

"Mereka, pada masa itu, tidak menentang undang-undang berkenaan atau bersuara untuk menentangnya," portal itu memetik beliau sebagai berkata.

Ambrose dilapor berkata demikian selepas Muhyiddin, bekas timbalan perdana menteri dan Anggota Parlimen Pagoh, serta Shafie, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Anggota Parlimen Semporna, menghadiri sidang akhbar anjuran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Sidang akhbar itu untuk membantah penggunaan SOSMA terhadap dua individu yang didakwa atas tuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia.

Ambrose juga dilaporkan mengkritik Shafie kerana mempertikaikan syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad dan menyatakan bahawa banyak perkara yang penting kepada rakyat masih lagi belum ditangani.

Ketua UMNO Bahagian Penampang itu berkata Muhyiddin dan Shafie merupakan anggota Kabinet kerajaan persekutuan sehingga Julai tahun ini dan isu 1MDB dibincangkan pada mesyuarat Kabinet.
"Jadi mereka tidak boleh kata tidak tahu. Malah, Muhyiddin mempengerusikan satu daripada mesyuarat Kabinet apabila isu 1MDB dibincangkan dan semua isu telah diperjelaskan," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Ambrose berkata 1MDB yang melantik presiden baharu tahun ini, membentangkan program rasionalisasi dan pengurangan hutangnya kepada Kabinet pada Jun lepas, yang diluluskan Kabinet.

Beliau berkata adalah jelas 1MDB memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan sehingga hujung tahun ini untuk menyelesaikan rasionalisasi dan pengurangan hutangnya, dan Muhyiddin serta Shafie tidak menentang rancangan ini atau tidak bersetuju mengenainya.

"Sekarang Shafie dan Muhyiddin bercakap seolah-olah mereka tidak dimaklumkan mengenai fakta berkaitan 1MDB dan tidak menjadi anggota Kabinet yang meluluskan program rasionalisasi dan pengurangan hutang," beliau dipetik sebagai berkata. - BERNAMA

Saturday, October 10, 2015

POLIS BERI JAMINAN KESELAMATAN RAKYAT DI SABAH TERKAWAL : KHALID


PETALING JAYA:  Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan pengawasan yang teliti di sekitar perairan Sabah, susulan insiden penculikan dua rakyat Malaysia di Sandakan pada 14 Mei lalu.


Sehubungan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan keselamatan rakyat di Sabah adalah terkawal.

Katanya polis juga sehingga kini masih berusaha menjejaki kedua-dua mangsa yang diculik itu.

"Saya memberi jaminan kepada keluarga mangsa dan rakyat Sabah bahawa polis sedang lakukan yang terbaik demi keselamatan mereka. Polis telah menghantar pasukan untuk berunding dengan pihak di Filipina bagi membebaskan kedua-dua mangsa yang ditawan penculik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Kejohanan Boling Sukan Empat Penjuru (Sukep) di sini pada Sabtu.

Pada 14 Mei lalu seorang wanita Thien Nyuk Fun, 50, dan seorang lelaki Bernard Then Ted Fen, 39, diculik empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan kira-kira 7.45 malam.

Kedua-duanya kini dipercayai berada di kawasan pedalaman selatan Filipina yang bersempadan dengan Sabah.

Sementara itu, Khalid berkata PDRM akan membantu Polis Thailand mengesan suspek utama insiden pengeboman di Bangkok, yang mungkin berada di Malaysia.

Pada 17 Ogos lepas, serangan bom berhampiran Kuil Erawan di ibu negara Thailand itu mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan mengakibatkan 130 orang lagi cedera.

Pada 28 Sept lepas, polis Thailand telah mengumumkan secara rasmi identiti lelaki yang disyaki bertanggungjawab dalam serangan bom berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Khalid ketika diminta mengulas mengenai kelewatan pihak berkuasa mengesan tujuh murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu berkata pihaknya akan melihat semua kaedah operasi yang dijalankan.

"Kita akan kaji balik kenapa terlepas masa pencarian awal tetapi saya sudah beritahu pada mula lagi yang kita tak pernah menghentikan usaha mencari mereka," katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Dua daripada mereka ditemui selamat semalam, iaitu Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, manakala Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia.

Tiga yang masih belum ditemui adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8, dan Haikal Yaakob, 8.
- BERNAMA

Wednesday, October 7, 2015

INI BARU CERITA 'NGAM'!!!!


Ndak payah dengar cerita karut dan dusta.. inilah cerita dan fakta sebenar sekiranya TPPA dimeterai kelak!!!!